Walaupun lebih lima minggu kejadian taufan Nargis melanda Dataran Irrawaddy, Myanmar, mayat-mayat mangsa terkorban masih boleh dilihat bergelimpangan di kiri dan kanan jalan. Malah lebih teruk, mayat-mayat itu dicampak ke dalam terusan atau kubur besar yang digali tanpa sebarang tanda.
Pemerhati misi bantuan Kijang Care ke Myanmar, Syed Azidi Syed Aziz berkata, keadaan tempat yang dilanda taufan Nargis amat dahsyat dan sukar digambarkan kerana persekitarannya yang rosak teruk dan mayat mangsa korban masih dibiarkan begitu sahaja.
“Berbanding Tsunami yang melanda Acheh pada 2004 lalu, memang segala-galanya musnah tetapi mangsa korban masih mendapat perhatian tetapi tidak di sini (Myanmar) usaha membersih kawasan yang dipenuhi mayat masih tidak dilaksana sepenuhnya lagi,” katanya yang baru pulang dari misi bantuan tersebut.
Misi bantuan Kijang Care menjalankan operasi kemanusiaan di Myanmar bermula 2 hingga 6 Jun lalu yang disertai lima petugas membawa bekalan makanan, ubatan dan pakaian kepada mangsa ribut yang masih hidup.
Katanya, pasukan yang diketuai oleh Dr Rosli Alaani Abdul Kadir itu tiba di daerah Talaa, wilayah Yangon pada 3 Jun dan mendapati semua petugas bantuan tidak dibenarkan berada melebihi dari wilayah berkenaan.
“Ketika di Talaa, kami dibawa ke kawasan komuniti beragama Islam. Di situ kami melawat beberapa buah masjid yang rosak dalam kejadian tersebut,” ujarnya.
Lebih memilukan, sebilangan anak-anak yatim yang masih tidak mengetahui nasib kehidupan selepas ini apabila tempat tinggal mereka turut musnah teruk akibat taufan Nargis.
“Ada anak yatim yang menghuni di rumah anak yatim dan ada juga menjadi yatim selepas tragedi tersebut. Mereka berada dalam keadaan yang cukup naïf,” jelas Azidi.
Sehubungan itu, Kijang Care telah menghulurkan bantuan kewangan kepada penduduk untuk membaik pulih masjid-masjid yang kebanyakannya rosak di bahagian bumbung. Manakala untuk anak-anak yatim pula, Kijang Care menyalurkan bantuan berupa bekalan makanan kepada hampir 100 orang golongan ini yang terselamat dalam bencana berkenaan.
sumber:: husammusa.com
Comments