JOHOR BAHRU 7 Jun – Segelintir pengusaha bas ekspres di Terminal Bas Larkin di sini didakwa menaikkan tambang mereka melebihi 40 peratus dengan alasan kenaikan harga minyak.
Tindakan tersebut membebankan pengguna yang terpaksa membeli tiket yang mahal itu kerana tidak mempunyai pilihan lain.
Seorang pelajar, Farah Ishak, 16, berkata, dia membeli tiket bas untuk perjalanan dari Johor Bahru ke Shah Alam pada harga RM55 untuk perjalanan sehala berbanding harga RM30 sebelum ini.
“Terkejut juga saya sebab selalunya kalau tambang naik pun setakat RM5 sahaja tetapi kali ini ia naik sampai RM15 berbanding tambang asal,” katanya ketika ditemui di terminal itu hari ini.
Mingguan Malaysia juga difahamkan terdapat penumpang yang membeli tiket untuk perjalanan sehala dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dikenakan harga RM60 berbanding kadar biasa RM25.
Seorang lagi penumpang bas, Siti Norizan Sulaiman, 25, berkata, perbuatan menaikkan tambang secara sewenang-wenang itu dilakukan oleh pengusaha bas yang tidak takut kepada tindakan penguatkuasaan agensi kerajaan.
Pekerja kilang itu berkata, bagi pengguna yang menjadikan bas sebagai pengangkutan utama, mereka tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membeli tiket pada harga yang ditawarkan.
“Kami tiada pilihan, mahu tidak mahu kami terpaksa membelinya walaupun mahal,” katanya.
Bagaimanapun, tinjauan juga mendapati terdapat beberapa pengusaha bas terutama yang mempunyai kaunter sah di terminal berkenaan masih mengekalkan kadar tambang sebelum kenaikan harga minyak 5 Jun lalu.
Seorang pelajar, Zahirah Abdul Ghani, 20, bersyukur kerana tiket bas yang dibelinya masih mengekalkan harga yang sama seperti sebelum ini.
Dia menggesa pihak berkuasa menjalankan langkah penguatkuasaan secara lebih tegas supaya pengguna tidak terus menjadi mangsa pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan berlebihan.
Comments